Selamat Datang Ke Blog Cikgu Harliza

Saturday 27 October 2012

Karangan Remaja Bersahsiah(Mursyidah 4SC2)


Remaja bersahsiah mullia mampu membangunkan sesebuah Negara. Oleh sebab itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah murni anak-anak mereka. Bincangkan.

Dalam meniti arus kemodenan ini, ibu bapa haruslah memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah peribadi anak-anak supaya menjadi seorang anak yang berwawasan dan berkaliber. Anak-anak ataupun digelar sebagai remaja ini mampu membangunkan sesebuah Negara jika mereka mempunyai sahsiah yang mulia dalam diri mereka. Perkara ini sering menjadi bahan perbincangan dalam kalangan ibu bapa dan pemimpin Negara. Titik permulaan dalam membentuk sahsiah mulia dalam diri anak-anak ini ialah bermulanya daripada bimbingan ibu bapa. Jika seseorang ibu bapa itu berjaya membentuk sahsiah anak-anak mereka dengan baik. Maka, tidak hairanlah pada suatu hari nanti anak-anak mereka menjadi seorang pemimpin Negara dan mampu memimpin semua anak-anak muda dalam membentuk sahsiah diri. Oleh itu, ibu bapa haruslah memainkan peranan dari sekarang sebelum nasi menjadi bubur.

Antara peranan yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa ialah dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana ibu bapa yang mencerminkan sahsiah peribadi anak-anak. Seseorang ibu bapa itu haruslah menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contoh, bertutur dengan bahasa yang sopan, tidak bergaduh antara suami isteri di hadapan anak-anak, tidak merokok di hadapan anak-anak dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, anak-anak pasti akan mengikut dan menjadikan ibu bapa mereka sebagai suri teladan kepada mereka. Hal ini persis dengan kata pepatah “bagaimana acuan, begitulah kuihnya” yang membawa maksud seseorang anak akan meniru perangai dan kelakuan ibu bapa mereka. Oleh itu, sahsiah mulia anak-anak dapat dibentuk melalui sahsiah ibu bapa. Jika ibu bapa itu bersikap baik anak-anak juga akan menjadi baik, manakala jika ibu bapa itu bersikap buruk, anak-anak juga akan turut bersikap buruk.
Selain itu, didikan agama amat penting dalam membentuk dan mencorak sahsiah yang mulia dalam diri anak-anak. Ibu bapa haruslah memainkan peranan dengan memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak kerana dengan adanya ilmu agama yang kukuh, anak-anak dapat membezakan antara perkara yang baik dan buruk. Dengan itu, anak-anak tidak akan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat seperti melepak, merokok, merempit dan sebagainya. Jika ibu bapa ingin mencorak sahsiah yang baik dalam diri anak-anak. Ibu bapa perlulah memberikan didikan agama kepada mereka sejak kecil lagi bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Anak-anak ini ibaratkan kain putih, ibu bapa yang mencorak anak-anak menjadi insan mulia dan jika terlambat memberi didikan agama yang baik kepada anak-anak, pasti kain putih itu akan menjadi hitam dan sukar untuk dibentuk. Oleh itu, ibu bapa haruslah memberi didikan agama sebelum terlambat.

Di samping itu, kasih sayang juga merupakan salah satu faktor yang dapat membentuk sahsiah diri anak-anak. Ibu bapa sewajarnya memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak “bagai menatang minyak yang penuh” kerana anak-anak ini dahagakan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang dengan cara beriadah bersama-sama, solat berjemaah, makan bersama-sama dan sebagainya. Kesannya, anak-anak tidak akan memberontak dan mereka akan tenang apabila ibu bapa menyayangi mereka. Namun begitu, masih terdapat golongan ibu bapa yang tidak memberi kasih sayang kepada anak-anak kerana alpa akan tanggungjawab yang dipikul. Ini akan menyebabkan anak-anak mudah memberontak dan mula melangkah ke dunia yang penuh dengan kemaksiatan. Oleh itu, ibu bapa perlulah memberikan kasih sayang yang secukupnya tidak kira dengan apapun cara kerana kasih sayang ibu bapa amatlah berharga bagi anak-anak.



Sebagai penutup wacana, ibu bapa haruslah bijak memainkan peranan mereka dalam membimbing anak-anak membentuk sahsiah diri yang mulia kerana ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dan lebih mengenali anak-anak. Saya berharap ibu bapa tidak leka akan tanggungjawab mereka dalam membimbing anak-anak bersahsiah mulia agar    harapan ibu bapa dan pemimpin Negara dalam membentuk sahsiah yang baik dalam diri anak-anak akan tercapai.

Hasil nukilan : Mursyidah Binti Mustapa
Tingkatan     : 4 Sains 2

2 comments: