Selamat Datang Ke Blog Cikgu Harliza

Wednesday 23 October 2013

  Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada masa kini.

“Jika bisnes anda tiada di internet, maka bisnes anda akan musnah”
- Bill Gates, pencipta Microsoft

            Petikan kata-kata Bill Gates ini secara tersiratnya menjelaskan bahawa pengaruh internet masa kini sangat kuat, begitu juga dengan peranan internet terhadap hala tuju kehidupan seseorang. Marcapada ini, internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi, dalam masa yang sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana, hanya internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, anda mampu mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara mengakses internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini handal menggunakan internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara khusus berkenaan dengan internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’ internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari internet dan secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet.

            Antara peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada masa kini termasuklah mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat berkaitan dengan internet. Hal ini disebabkan, anak-anak perlu diberitahu mengenai baik-buruk penggunaan internet sebelum mereka didedahkan dengan cara menggunakan kemudahan internet secara bijak. Sekiranya anak-anak sudah diajar dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih bijak dalam menggunakan kemudahan internet pada masa-masa akan datang bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu sememangnya ibu bapa bertanggungjawab dalam memberi pengenalan kepada anak-anak mengenai penggunaan internet dari kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan masyarakat moden masa kini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat berkaitan internet terhadap anak-anak merupakan tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa. 

            Selain daripada itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu internet ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus provokasi di internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet dapat mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan internet.

            Namun begitu, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan internet oleh anak-anak. Terbaru, ibu bapa kini mampu mengawal internet dengan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai langkah mengelakkan pengguna internet mengakses laman-laman tersebut dan sistem yang sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di semua alma mater milik kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses laman-laman yang berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan sistem sebegini di rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif seperti yang kebiasaanya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa masa kini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis kata peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu bapalah yang perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa sebaik-baiknya mengawal penggunaan internet oleh anak-anak sebagai cara mengajar mereka menggunakan internet secara lebih bijak.

            Akhir sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menggunakan internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka dengan medium-medium pembelajaran menerusi internet. Seperti yang ditegaskan, internet sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari segi pendidikan. Hari ini, kemajuan internet juga selaras dengan kemajuan teknologi seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari internet. Oleh yang demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan internet, namun malangnya kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna internet masa kini. Sebaik-baiknya anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangya mereka akan mula memanfaatkan penggunaan internet serta bijak menggunakannya. Ibu bapa juga tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-perani di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada anak-anak. Oleh yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa tindakan ibu bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui internet kepada anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan penggunaan internet.

            Secara tuntasnya, perkhidmatan internet sememangnya memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet dalam kehidupan seharian. Tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa internet sangat penting kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa tidak turut turun padang dalam membantu kerajaan melahirkan dan mendidik generasi yang celik IT dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, sememangnya jikalau ibu bapa mula bertindak dari awal, masalah-masalah penyalahgunaan internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah dicantas, dan secara tidak langsung, negara kita akan dipenuhi dengan generasi-generasi yang berguna dan berfikiran hadapan. 
(926 patah perkataan)

Disediakan oleh: Muhammad Shafiq Bin Amirullah
                               5SN 2

Tuesday 8 October 2013






Soalan 1( ICC- Melaka 2013)

Kemahiran yang diperlukan sebelum memasuki alam pekerjaan

Sudah terang lagi bersuluh,semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020.Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat bagi para pelajar.pelajar atau golongan remaja ini merupakan asset paling berharga buat sesebuah negara dan peneraju tampuk pemerintahan negara kelak.Para pelajar haruslahbersedia dari sekarang untuk menempuhi dunia yang semakin mencabar ini agar tidak mudah ditindas bak kata peribahasa melayu sediakan payung sebelum hujan.Seperti yang kita sedia maklum,alam pekerjaan merupakan destinasi akhir bagi para pelajar.Hal ini demikian, kerana mereka ingin mencari pengalaman baru dalam hidup mereka.Tidak dinafikan lagi,pada zaman ini persaingan antara para pelajaruntuk memasuki pasaran pekerjaan sangat tinggi jadi.tidak ada gunanya para pelajar bersaing sesame mereka sekiranya mereka hanya bergantung kepada kelulusan akademik sahaja.Kelulusan akedemik semata-mata tidak lagi menjadi faktor penentu kejayaan seseorang pelajar dan tidak menjanjikan jawatan yang diidamkan.Oleh itu,para pelajar haruslah melengkapkan diri mereka dengan pelbagai bidang kemahiran sebelum memasuki dunia pekerjaan .Terdapat beberapa kemahiran sebelum memasuki dunia pekerjaan dan asas pekerjaan yang perlu dikuasai oleh para pelajar.
Umum mengetahui bahawa kemahiran berkomunikasi merupakan kemahiran yang sangat penting dan wajar dikuasai oleh para pelajar.Hal ini demikian, kerana,setiap pekerjaan memerlukan kita untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan masyarakat .Para pelajar yang petah berbicara mengeluarkan hujah atau pendapat yang matang dan berani berhadapan dengan pelbagai peringkat klien akan mudah mendapat tawaran pekerjaan .Namun sebaliknya akan berlaku jika pelajar tidak bijak dan sukar berkomunikasi denganorang lain.Oleh itu,mereka haruslah melatih diri berkomunikasi dengan masyarakat agar kemahiran tersebut dapat dikuasai.Saya ingin memetik kata-kata hikmat daripada Horne yang menyatakan orang yang takut  menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju.Kata-kata ini menjelaskan bahawa jika kita terus berada dalam kelompok yang sama dan tidak mahu berubah kita tidak akan maju.Sekiranya kita berusaha mengubahnya seperti berusaha belajar cara berkomunikasi sehingga mahir nanti akan menemui kejayaan.Bukan itu sahaja,para pelajar juga perlulah bijak berinteraksi dalam gaya dan tutur bahasa yang sopan kerana pertuturan seseorang melambangkan sikapnya Oleh itu jelaslah bahawa betapa pentingnya kemahiran berkomunikasi dalam diri pelajar yang bakal memasuki alam pekerjaan ini.
Di samping itu,pelajar juga haruslah melengkapkan diri dengan kemahiran bahasa kerana kemahiran ini memainkan peranan penting sebagai pelengkap bagi para pelajar untuk memasuki alam pekerjaan.Hal ini kerana,individuyang mempunyai kemahiran bahasa lebih mudah mendapat peluang pekerjaan terutamanya dalam era globalisasi ini.Oleh itu,seseorang pelajar perlulah berusahauntuk mempelajari bahasa asing dengan mengikuti bengkel atau menghadirir tusyen bahasa asing.Contohnya bahasa inggeris,jepun dan korea.Bukan itu sahaja pelajar juga perlulah meminta tunjuk ajar dari guru yang pandai pelbagai bahasa bak kata pepatah hendak seribu daya,tidak hendak seribu dalih.Kemahiran ini juga mampu membantu pelajar pada alam pekerjaan untuk berurusan dengan pelanggan di luar negara.Hal ini akan memudahkan pelajar sekiranya dihantar bekerja di mana-mana cawangan syarikat di luar Negara .Jelaslah di sini kemahiran berbahasa juga merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh seseorang pelajar sebagai asas untuk memasuki alam pekerjaan.
Selain kemahiran berkomunikasi,kemahiran teknologi juga penting selaras dengan kemajuan teknologi global.Hal ini kerana kemahiran ini mungkin berguna kepada pelajar berdasarkan bidang pekerjaan yang pelajar minati .Sebagai contoh teknologi pembuatan dan penciptaan .Oleh hal yang demikian pelajar perlulah mengambil prakarsa untuk mempelajari kemahiran tersebut dengan meminta tunjuk ajar dari orang yang mahir dan menghadiri kursus teknologi bak kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.Dengan ini kita mampu memiliki asset utama untuk mencari peluang dalam pelbagai sektor.Contohnya pembuatan. pemesenan,perkakasan dan operasi.Oleh itu,jelaslah kemahiran teknologi merupakan salah satu pelengkap bagi pelajar untuk menjamin masa depan yang cerah.
Bukan itu sahaja,para pelajar juga haruslah mempelajari dan menguasai kemahiran dalam bidang teknologi maklumat.Hal ini, demikian teknologi maklumat ini dapat mempercepatkan proses penyebaran dan pemerolehan maklumat melalui rangkaian intenet dan laman web.Memandangkan  kebanyakan bidang pekerjaan menggunakan kemahiran telnologi maka para pelajar haruslah menjadikan bidang ini separuh daripada kehidupan seharian agar tidak menjadi penghalang semasa di alam pekerjaan.Untuk menguasai bidang ini ,para pelajar digalakkan menyertai kelab teknologi maklumat di sekolah dan memasuki pertandingan mereka cipta laman sesawang.Impaknya jika para pelajar mampu memahirkan diri dalam bidang ini nescaya para pelajar tidak tidak akan mengalami sebarang masalah sewaktu berkerja nanti.Persis kata mutiara”yang pipih tidak datang melayang,yang bulat tidak datang bergolek”.Jika tiada daya usaha yang kental untuk mempelajari bidang ini para pelajar mungkin akan mengalami kesukaran ketika bekerja.Secara tuntasnya,mempelajari bidang teknologi maklumat amatlah penting kepada para pelajar kerana di zaman yang semakin maju ini kegunaan teknologi maklumat semakin meluas dalam pelbagai bidang pekerjaan tidak kira swasta mahupun kerajaan.Oleh itu,para pelajar seharusnya memulakan langkah bagi menuntut ilmu ini.
        Secara keseluruhannya,jelaslah bahawa kemahiran dalam pelbagai bidang sangat penting bagi para pelajar sebagai persediaan untuk melangkah ke alam pekerjaan.Oleh itu,pelajar merupakan harapan kepada tonggak kemajuan negara kelak.Persis kata pepatah,pemuda harapan bangsa,pemudi tiang Negara.Jesteru itu,impian negara untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Negara-negara maju yang lain.

Monday 7 October 2013

Anda akan menyertai pertandingan pidato peringkat daerah. Tajuk pidato yang anda pilih ialah ‘Peranan Ibu Bapa Untuk Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja’.
Sediakan teks pidato anda selengkapnya.
         
                Assalamualaikum dan selamat sejahtera, salam 1Malaysia, salam Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau. Yang dihormati, panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan tugasnya, serta para hadirin sekalian. Pada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Peranan Ibu Bapa Untuk Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja”.
Petang-petang mengutip ranting,
Ranting disorok di dalam guni;
Ibu bapa berperanan penting,
Agar gejala sosial dapat ditangani.
                Pantun empat kerat di atas sudah cukup menerangkan bahawa ibu bapa sememangnya perlu memainkan peranan dalam memastikan gejala sosial yang semakin berleluasa ini dapat ditangani. Marcapada ini,  kita sering melihat isu-isu gejala sosial semakin menjadi-jadi dan seringkali  terpampang di dada akhbar dan corong-corong media yang lain. Remaja masa kini seolah-olah sudah tidak ‘segan’ untuk melakukan perkara-perkara terkutuk ini, malah bangga melakukannya.  Gejala sosial ini, secara spesifiknya juga  merupakan salah satu jenayah dan antara contoh gejala sosial yang sering berlaku dewasa ini termasuklah pergaulan bebas, vandalisme, pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah dan lumba haram. Gejala-gejala ini bukan sahaja menghancurkan masa depan anak-anak muda kita, yang juga merupakan harapan bangsa, malah menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat. Perbuatan ini juga boleh menyebabkan masalah-masalah lain yang memberi impak yang sangat besar terhadap institusi kekeluargaan, bangsa, agama dan negara. Oleh yang demikian, sudah menjadi satu tanggungjawab golongan yang terdekat dengan anak muda ini iaitu ibu bapa mereka sendiri, untuk memainkan peranan penting dalam menangani masalah gejala sosial dalam generasi muda.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

                Berdasarkan penegasan tersebut, antara peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial dalam kalangan remaja termasuklah dengan memberikan didikan agama yang sempurna. Hal ini demikian kerana, anak-anak perlu didedahkan dengan ilmu-ilmu agama yang banyak mengajar adab-adab serta nilai murni yang perlu diamalkan dalam kehidupan, sebagai satu benteng daripada masalah gejala sosial. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghantar anak-anak ke kem keagamaan, kelas-kelas fardhu ain, mahupun membawa mereka ke ceramah agama yang kebiasannya diadakan di mana-mana surau ataupun masjid. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”, sememangnya jika ibu bapa memberi penekanan ini terhadap anak-anak sejak dari kecil, mampu membuatkan mereka tidak akan ‘tergelincir’ ke kancah penuh sengsara iaitu merujuk kepada gejala sosial. Hal ini kerana, walaupun sekali anak-anak muda ini termasuk ke dalam masalah ini, amat sukar bagi mereka untuk kembali ke pangkal jalan. Oleh itu, cukup diterangkan  di sini bahawa didikan agama yang sempurna mampu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.

Hadirin yang dihormati sekalian,

                Tidak cukup dengan itu, ibu bapa juga seharusnya memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Hal ini disebabkan, mengikut kajian, anak-anak kebiasannya akan terjebak dengan gejala sosial atau kes-kes jenayah yang lain kerana tidak mendapatkan kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Namun dalam kajian yang sama telah dibuktikan bahawa perhatian dan kasih sayang yang dicurahkan ibu bapa terhadap anak-anak memapu membendung mereka daripada terlibat dengan gejala sosial. Ditambah pula dengan cabaran masa kini, ibu bapa kebanyakkannya mempunyai karier masing-masing, sehingga menjadi terlalu sibuk untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa, sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu kepada pengasuh yang diupah. Tamsilnya, ibu bapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak terutama pada hujung minggu, sama ada menghabiskan masa bersama di rumah mahupun membawa mereka makan angin. Seharusnya ibu bapa menjaga dan menghargai anak-anak bagai menatang minyak yang penuh kerana anak-anak ini sememangnya satu anugerah dari Tuhan yang tidak ternilai. Secara tidak langsung, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan lagi, dan masalah gejala sosial dapat dihindari. Jelaslah di sini, bahawa perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa mampu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.

Hadirin sekalian,

                Selain daripada itu, ibu bapa juga seharusnya mengisi masa anak-anak dengan perkara yang berfaedah. Hal ini disebabkan, sekiranya masa anak-anak diisi dengan perkara yang berguna, sekurang-kurangnya mereka akan belajar cara menghargai masa dan secara tidak langsung mendapat manfaat untuk kehidupan mereka. Sebagai contoh, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak beriadah dan bersenam, bergotong-royong di rumah mahupun menghantar mereka ke kelas-kelas tambahan. Melalui kaedah ini, hari-hari mereka akan dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat, dan mereka tidak akan ada masa untuk berleka mahupun melibatkan diri dengan perkara-perkara negatif. “Masa itu emas”, itulah ungkapan yang sering kita dengar dan ungkapan itu juga sebenarnya menyuruh kita menghargai masa. Tempoh 24 jam sehari kita setiap hari perlulah dipenuhi dengan ilmu, pengalaman, amal ibadat, kebaikan dan aktiviti-aktiviti sihat kerana setiap manusia di muka bumi ini memerlukannya. Ibu bapa digalakkan untuk memantau segala aktiviti anak-anak sama ada di sekolah mahupu  di luar sekolah, dan lebih baik lagi menyediakan jadual waktu harian untuk mereka, yang perlu diisi dengan waktu belajar, beriadah, beribadah dan beramah mesra dengan keluarga atau bergaul dengan masyarakat. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih teratur, dan masa mereka tidak dibazirkan dengan perkara yang tidak berguna. Cukup dijelaskan di sini bahawa mengisi masa anak-anak dengan perkara yang berfaedah mampu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.

Para hadirin yang dirahmati,

                Akhir sekali, peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial termasuklah dengan menjadi suri teladan yang baik terhadap anak-anak. Seperti yang diketahui, ibu bapa merupakan golongan yang paling hampir dengan anak-anak, dan disebabkan itu, mereka merupakan golongan yang paling tepat untuk mejadi suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak bukan sahaja melalui sahsiah diri, malah dari segi pertuturan bahasa, pergerakan, adab sopan dan amal kebaikan yang dilakukan. “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya”, begitulah yang dikatakan melalui peribahasa orang Melayu kita. Keperibadian anak-anak bergantung kepada bagaimana cara ibu bapa melatih dan membentuk mereka. Sekiranya anak-anak disematkan dengan ‘sulaman’ kebaikan, maka anak-anak akan mejadi individu yang lebih baik dan begitulah sebaliknya. Sekiranya ibu bapa tidak menjadi contoh ikutan terbaik, maka bagaimanakah anak-anak ingin menjadi individu yang baik dan berakhlak mulia? Anak-anak ini merupakan penentu hala tuju negara, dan seelok-elonya mereka dibentuk dan diajar untuk menjadi individu yang berkualiti. “Sudah terang lagi bersuluh”, sememangnya ibu bapa yang menjadi suri teladan yang baik terhadap anak-anak mampu membendung mereka daripada terlibat dengan gejala sosial.

Hadirin sekalian,
                Secara keseluruhan, gejala sosial ini sebenarnya boleh ditangani dengan mudah sekirannya ibu bapa berjaya mendidik dan membentuk anak-anak dengan sebaik-baiknya. Sekiranya ibu bapa amat menitikberatkan isu ini, maka dengan mudah masalah gejala sosial yang berlaku dalam generasi muda kita masa kini akan dapat dibendung, seterusnya negara akan dapat melahirkan lebih lagi generasi muda yang berkualiti dan berkemampuan untuk mentadbir negara. Sanggupkah kita melihat negara kita dipimpin oleh orang asing dan bukannya anak watan? Sanggupkah kita melihat anak-anak kita menjadi buruan pihak berkuasa kerana terlibat dengan jenayah? Adakah tempoh sembilan bulan sepuluh hari kita menjaga mereka di dalam kandungan, dan beberapa tahun membesarkan mereka dengan mengorbankan wang, masa dan tenaga dapat dibalas sekiranya mereka terlibat dengan masalah sebegitu?  Sudah tentu tidak, oleh itu, langkah awal harus diambil dan ibu bapa perlu mula memainkan peranan masing-masing kerana peribahasa ada menyebut, “mencegah itu lebih baik daripada merawat”. Ingin saya tegaskan sekali lagi di sini bahawa, gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja masa kini tidak akan dibendung tanpa usaha dan peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa.

                Sekian sahaja pidato saya pada kali ini, saya ingin memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa mahupun tersilap bahasa sepanjang saya menyampaikan pidato sebentar tadi. Saya berharap, agar hadirin sedikit sebanyak mendapat pengajaran dan ilmu tambahan daripada pidato itu tadi dan dalam masa yang sama saya juga berharap agar hadirin yang berada di hadapan saya ini tidak terlibat dengan gejala sosial seperti yang dipertekankan dan menjadi antara generasi yang berguna untuk masyarakat di masa hadapan. Sebelum saya mengundur diri, ingin saya sampaikan serangkap pantun;

Berjalan kaki pergi ke pekan,
Sambil melihat mentari pagi;
Salah dan silap harap dimaafkan,
Kalau ada umur bertemu lagi.

Sekian, terima kasih dan assalamualaikum. 
CARA-CARA MENGATASI KEJADIAN TANAH RUNTUH
OLEH :  NANAASHA BINTI AZJABAKA

Dalam mendepani era modenisasi pada abad ke-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara kini semakin semakin pesat membangun seperti peribahasa, “tenggelam sama basah, timbul sama hanyut” seiringan dengan negara maju lain. Namun sering meniti dari bibir ke bibir segenap umat manusia tentang fenomena kejadian tanah runtuh yang semakin membimbangkan rakyat Malaysia . Kemelut ini juga sering disiarkan dalam media massa seperti internet, televisyen dan surat khabar. Dari segi konsepsinya, kejadian tanah runtuh ialah kejadian yang berlaku akibat daripada gelongsoran tanah di lereng-lereng bukit. Implikasinya, fenomena ini boleh menyebabkan kerosakan harta benda dan boleh meragut nyawa pengguna jalan raya mahupun penduduk yang berdekatan. Persoalan yang bermain dalam kotak fikiran kita ialah mengapakah fenomena ini boleh berlaku dan siapakah yang patut dipersalahkan? Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR), fenomena kejadian tanah runtuh ini berpunca daripada kegiatan pembalakan hutan secara berleluasa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan akhirnya menyebabkan hakisan tanah. Oleh itu, terdapat beberapa cara untuk mengatasi kejadian tanah runtuh  yang mesti dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkenaan bagi mengatasi fenomena ini sebelum nasi menjadi bubur.

Antara cara untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara kita ialah pihak kerajaan seharusnya menanam semula pokok-pokok di cerun bukit terutamanya di kawasan yang telah dibangunkan . Usaha murni ini merupakan cara terbaik untuk menjaga cerun-cerun dan kawasan yang dibangunkan daripada terdedah kepada risiko kejadian tanah runtuh . Usaha tersebut juga dapat menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan . Hutan rimba dan   bukit-bukau merupakan pasak kepada ekosistem bumi . Pembalakan dan penebangan hutan tanpa kawalan telah melonggarkan ikatan tekstur tanah menjadikan cerun longgar dan rebah . Di Malaysia , hujan lebat yang turun akan menyebabkan tanah di lereng bukit menjadi longgar dan menggelongsor . Oleh itu , pokok-pokok besar yang berakar dalam dan tanaman tutup bumi perlu ditanam untuk menyelamatkan kawasan pembangunan yang terdedah kepada cuaca yang tidak tentu serta hujan lebat . Hal ini dapat membantu menyekat pergerakan tanah daripada dibawa aliran air bawah tanah yang mampu menggelongsorkan tanah yang tidak stabil . Usaha menanam kembali pokok-pokok atautumbuhan-tumbuhan , dapat memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat pembangunan . Sebagai contoh , kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kondominium Highland Tower  dan Bukit Antarabangsa masih lagi menjadi igauan rakyat akibat tidak mempedulikan cerun yang lemah berhampiran dengan kediaman . Janganlah diibaratkan seperti peribahasa , “ sudah terhantuk baru tengadah “ . Jelaslah bahawa peranan kerajaan bagi menanam semula pokok-pokok di cerun-cerun bukit amatlah penting bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh .








Selain itu , pihak kerajaan juga berperanan membina sistem perparitan yang terancang . Hal ini demikian kerana sistem perparitan yang terancang penting bagi membolehkan air hujan dari cerun bukit mengalir dengan baik dan terus ke longkang, sungai dan laut . Air tidak akan bertakung di sesuatu kawasan kecuali apabila  berlakunya banjir . Keadaan ini secara langsung boleh mengelakkan berlakunya hakisan tanah dan tanah runtuh . Sistem perparitan yang dibina dapat berfungsi sebagai benteng yang kukuh di lereng bukit . Sistem perparitan yang terancang juga dapat memadatkan struktur tanah di lereng bukit . Sekiranya tiada sistem perparitan dibina di lereng bukit , sudah tentu hujan lebat yang turun di kawasan bukit akan menyebabkan air bertakung dan terserap di kawasan lereng bukit melalui tanah sehingga  struktur tanah menjadi longgar dan tidak kukuh . Hal ini boleh mengundang padah seperti berlakunya banjir kilat , hakisan tanah dan tanah runtuh . Misalnya , peristiwa yang berlaku di Pos Dipang , Perak yang mengorbankan begitu banyak nyawa akibat banjir lumpur . Kawasan tanah tinggi yang dibangunkan pembangunan sangat berisiko dengan kejadian tanah runtuh dan aliran lumpur . Oleh itu , jelaslah pembinaan sistem perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara kita sebelum nasi menjadi bubur .

                                                 Pada realitinya , masalah tanah runtuh dapat diatasi persis pepatah Melayu ada mengatakan , “  tiada penyakit yang tiada penawarnya “ . Bukan setakat pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan malahan usaha bagi mengatasi kejadian tanah runtuh ini juga sepatutnya dimulakan daripada institusi kekeluargaan . Dalam hal ini , ibu bapa memikul tanggungjawab yang amat besar bagi memupuk semangat cinta akan alam sekitar dalam diri anak-anak sejak dari kecil lagi . Hal ini selaras dengan peribahasa , “ melentur buluh biarlah dari rebungnya “ . Ibu bapa haruslah sentiasa mendedahkan anak-anak tentang kepentingan menjaga alam sekitar . Namun begitu , mendidik sahaja tidak cukup , ibu bapa juga seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak . Sebagai contoh , ibu bapa tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat serta melakukan pembalakan haram kelak yang boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh . Sikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul tidak sepatunya  diamalkan oleh ibu bapa . Sikap ini dapat dilihat pada ibu bapa yang mengajar anak-anak menjaga alam sekitar sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian . Implikasinya , jika ibu bapa menunjukkan contoh teladan yang baik , sudah tentu anak-anak akan mencontohi sikap tersebut kerana ibu bapa merupakan sumber inspirasi kepada anak-anak .Dengan ini , nescaya kejadian tanah runtuh dapat diatasi sekaligus dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar yang semakin hari semakin tercemar akibat kerakusan manusia yang hanya mementingkan diri sendiri .




         Jika ditelusuri secara mendalam , antara langkah yang pragmatik ialah melalui peranan yang dimainkan oleh syarikat-syarikat pemaju . Syarikat-syarikat pemaju perlulah meneliti secara mendalam mengenai kawasan yang ingin dijadikan lokasi pembinaan serta tidak bersikap tergopoh gapah sebelum membangunkan sebarang pembangunan di kawasan tersebut . Mereka hendaklah melakukan pemeriksaan terlebih dahulu . Hal ini demikian untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku . Pemaju juga disarankan agar mendirikan bangunan atau tapak perumahan di tanah yang lapang dan rata . Mereka perlu mengelakkan membina rumah atau bangunan di kawasan yang berbukit bukau serta di kawasan yang berdekatan dengan sungai . Hal ini demikian kerana kawasan tersebut berisiko tinggi dalam mengundang berlakunya tanah runtuh . Bak kata peribahasa Melayu “sediakan payung sebelum hujan“ . Jelaslah bahawa peranan yang dimainkan oleh syarikat pemaju amatlah penting bagi mengatasi kejadian tanah runtuh yang mampu meragut nyawa penduduk Malaysia .

      Kesimpulannya , rakyat Malaysia masih mempunyai ruang usaha dan ikhtiar bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh . Usaha semua pihak amat diharapkan agar kejadian tanah runtuh ini dapat dielakkan . Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap tersebut boleh mengundang padah kepada rakyat . Elbert Hubbard pernah berkata , “ kebijaksanaan ialah keupayaan untuk bertindak pada masa yang benar-benar tepat . Jika kita tersilap langkah , kita diibaratkan , “ menconteng arang ke muka sendiri “ . Oleh sebab itu , pihak berkuasa janganlah mengambil sesuatu tindakan secara sambil lewa ibarat melepaskan batuk di tangga kerana apabila nasi sudah menjadi bubur , kita hanya akan menyesal buat selama-lamanya .

Thursday 3 October 2013

Semangat Patriotik


Semangat Patriotik

Modul kenegeraan diajarkan juga,
Agar terpupuk semangat patriotik dan cintakan Negara,
Mengenal negara dan mempertahankannya,
Biarpun pertaruhkan nyawa demi negara tercinta.

       Itulah syair yang dapat kita kaitkan untuk melahirkan semangat patriotik dalam kalangan remaja.Mutakhir ini,semangat patriotik  semakin luntur dalam diri remaja dek perubahan-perubahan yang semakin mencabar.Hal ini dapat kita lihat di dada-dada akhbar dan media social mengenai remaja yang memandang rendah terhadap keamanan dan kemerdekaan yang dicapai.Tamsilnya,di laman muka buku,terdapat gambar remaja yang memijak dan membakar bendera Jalur gemilang.Wadah tersebut merupakan bukti bahawa remaja masih tidak mampu menghayati semangat patriotism itu sendiri kerana mereka merasakan mereka hidup di dalam negara yang bebas daripada penjajah.Justeru itu,semua pihak  haruslah memainkan peranan penting untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangnan  remaja kerana bak kata pepatah,’usaha tanda kejayaan’.
       Dalam konteks ini, ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dengan remaja.Oleh itu, ibu bapa perlulah memupuk semangat patriotik dalam diri cahaya mata mereka sejak kecil lagi.Peribahasa ada mengatakan,’melentur buluh biarlah dari rebungnya.Jika semangat patriotik dipupuk sejak kecil lagi dalam diri anak-anak,semangat itu pasti akan kekal hingga ke hujung nyawa mereka.Antara usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah membawa anak-anak mereka ke tempat-tempat yang bersejarah.Sebagai contoh,Kota A’Famosa,Banda Hilir,Melaka.Implikasinya,anak-anak akan menghargai jasa para pejuang Negara dan mencintai Negara Malaysia.Jelaslah bahawa ibu bapa adalah tunjang untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja agar dapat membentuk remaja yang berjiwa merdeka.
      Selain itu,keharmonian dan keamanan negara juga tidak akan berkekalan jika masyarakat tidak membudayakan semangat patriotisme dalam diri remaja mahupun mereka sendiri.Dasawarsa ini,masyarakat lebih terikut-ikut dengan budaya ala Barat sehingga rapuhnya peradaban bangsa sekali gus membentuk generasi yang tiada jati diri,tidak tahu akar bangsa,dan tidak tahu membina acuan untuk mengekalkan kemerdekaan negara. Pepatah Melayu ada mengatakan,’pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara’.Lantaran itu,langkah yang drastik dan efektif harus dilakukan untuk memperkasakan semangat patriotik dalam diri remaja.Misalnya,di kawasan perumahan,ketua taman mengadakan ceramah dan  ucapan-ucapan mengenai nilai patriotisme yang melintas zaman.Contoh tersebut haruslah yang dilalui dan dekat dengan generasi muda.Antaranya ialah berbangga sebagai rakyat Malaysia,semangat kekitaan,berdisiplin,berusaha dan produktif.Nilai jati diri yang kukuh dan kental juga adalah nadi semangat patriotik.Natijahnya,perpaduan yang terbina pasti akan tersimpul erat dan masyarakat hidup dengan sejahtera.
       Di samping itu,sekolah juga mempunyai tanggungjawab penting  untuk merealisasikan semangat patriotik dalam kalangan remaja.Sekolah memainkan peranan penting supaya remaja mengingati budi tokoh-tokoh negara yang sanggup berkorban masa,nyawa dan tenaga untuk keharmonian negara.Remaja juga akan mempunyai semangat yang berkobar-kobar dan berusaha mempertahankan Negara daripada dijajah oleh negara lain.Antara langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah ialah mengadakan aktiviti yang berkaitan dengan patriotisme seperti mengadakan sambutan kemerdekaan,mengadakan kuiz kemerdekaan,memaparkan kisah tokoh-tokoh negara kepada pelajar.Ini secara tidak langsung akan menanamkan bibit-bibit cinta akan negara dalam diri remaja dan menjadi generasi yang sanggup berjuang untuk pertahankan negara bak kata pepatah,’bahu memikul,hati menyokong’.Dengan itu,setitik semangat patriotik yang ada dalam diri remaja pasti akan menjadi sekepal dan mewujudkan pelajar yang berjiwa bangsa.
       Seterusnya,pihak kerajaan adalah antara pihak yang mempunyai tugas untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan remaja atau bak kata pepatah Korea ‘mutiara negara’.Hal ini demikian kerana,setiap negara mempunyai pucuk pimpinan yang berhak mentadbir rakyatnya.Antaranya ialah pihak kerajaan.Pihak kerajaan hendaklah mewajibkan Program Latihan Khidmat Negara(PLKN) khususnya kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) agar dapat menerapkan semangat jati diri yang jitu dalam diri remaja.Pihak kerajaan boleh mengadakan aktiviti misalnya mengadakan pertandingan kawad kaki sempena hari kemerdekaan dan peragaan baju kebangsaan. Impaknya,negara dapat melahirkan remaja yang memiliki semangat patriotik yang mapan sekali gus menjadi bakal pemimpin yang akan mencorak negara bak kata peribahasa,’kalau tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya’.Jelaslah bahawa kerajaan memainkan peranan penting untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan remaja.
       Sebagai penghias bicara akhir, semua pihak haruslah berganding bahu bagai ‘aur dengan tebing’ untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan ‘mutiara negara’ agar dapat melahirkan remaja yang berjiwa patriotik.Menurut kata-kata tokoh sastera dan sejarah negara iaitu Usman Awang, “kalau hidup ingin merdeka,tiada tercapai hanya berkata,kemuka maju sekata,maju kita,melemparkan jauh jiwa hamba.Intihanya,tiada penyakiy yang tiada penawar,maka langkah-langkah yang konkrit dan sistematik  harus dipergiatkan  agar masalah ini boleh tangani.

langkah-langkah yang dilakukan oleh negara kita untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan.



Bincangkan langkah-langkah yang dilakukan oleh negara kita untuk mengekalkan
keharmonian dan kesejahteraan.


Pergi memetik bunga cempaka,
Ternampak pula si rama-rama,
Bersama kita menjaga Negara,
Agar masyarakat sentiasa sejahtera.

          Syair di atas jelas menunjukkan bahawa pentingnya keharmonian dan kesejahteraan sesebuah negara. Malaysia merupakan sebuah syurga dunia kerana kejadian buruk jarang berlaku di sini terutamanya ancaman bencana alam dan peperangan. Rakyatnya hidup dalam suasana aman sentosa bersama-sama arus pembangunan kemodenan yang pesat. Keamanan inilah yang memberikan imej yang positif kepada negara sehingga menjadikan banyak negara yang cemburu akan kejayaan tersebut. Jadi, memang banyak langkah yang dilakukan oleh negara ini untuk memastikan negara kita terus berada dalam situasi harmoni.
          Antara langkah yang dilakukan oleh negara kita untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan ialah dengan menggalakkan semangat perpaduan kaum dalam kalangan rakyat. Hal ini demikian akan dapat mengelakkan kejadian 13 Mei 1969 agar tidak berulang lagi. Contohnya, melaksanakan program Latihan Khidmat Negara dan juga menggalakkan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan. Dengan berbuat demikian, dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim tanpa mengira agama, bangsa mahupun warna kulit dan dapat mengelakkan perpecahan kaum yang membawa kepada pergaduhan. Persis kata cendekiawan, ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.’ Jelaslah harapan negara untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan akan tercapai.
          Selain itu, mutakhir ini, pihak Kerajaan telah melaksanakan Gagasan 1 Malaysia sebagai langkah untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Hal ini demikian kerana, Gagasan 1 Malaysia ini mampu memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Tamsilnya, Gagasan 1 Malaysia ini akan menjadikan masyarakat konvensional di negara ini agar menghormati pegangan dan kepercayaan kaum lain kerana setiap bangsa mempunyai amalan dan kepercayaan yang tersendiri. Natijahnya, rakyat tidak akan bersikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan sensitiviti bangsa lain. Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.’ Intihannya, diharapkan usaha kerajaan melalui Gagasan 1 Malaysia ini akan mengeratkan perpaduan rakyat sekali gus mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara.
          Seterusnya, menjalinkan kerjasama yang erat dengan negara-negara luar ataupun negara jiran terutama negara-negara ASEAN. Hal ini bersangkut paut kerana ASEAN ditubuhkan untuk menjamin keselamatan serantau serta boleh membantu dalam perkembangan ekonomi. Sebagai contoh, kerjasama sesama jiran boleh dijalinkan melalui perjanjian ekonomi dua hala. Maka, kerjasama yang erat ini dapat mengelakkan negara luar tidak mengganggu urusan negara masing-masing antara satu sama lain. Bak kata peribahasa, ‘bagai aur dengan tebing.’ Dengan itu, kerjasama yang erat antara negara-negara jiran membantu Malaysia untuk menikmati satu tahap keamanan yang tinggi.
          Kesimpulannya, rakyat Malaysia haruslah bersatu padu dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Bak kata pepatah, ‘bulat air kerana pembentung, bulat suara kerana muafakat.’ Dengan ini, negara akan dapat merealisasikan aspirasi 1 Malaysia yang membawa dasar ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Oleh itu, rakyat Malaysia akan sentiasa hidup dalam keadaan aman, tenang dan sejahtera.
4. A.M.  (Aini, Aqilah, Atiqah, Asnira & Mursyida)
(5SN2)

langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa agar anak-anak mendapat faedah daripada cuti sekolah yang panjang.



Soalan: Cuti sekolah yang panjang sering menimbulkan dilema dalam kalangan ibu bapa terutamanya yang sibuk bekerja. Kesibukan kerja menyukarkan mereka merancang pengisian cuti sekolah yang bermanfaat untuk anak-anak.
Jelaskan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa agar anak-anak mendapat faedah daripada cuti sekolah yang panjang.

Jawapan:
                                                                   Assalamualaikum


Duduk bersendiri di atas titi,
Terasa tenang melihat ikan;
Cuti sekolah sememangnya dinanti,
Namun perlu diisi dengan kebaikan.


[Intro]                   Pantun empat kerat di atas cukup menerangkan bahawa cuti persekolahan sememangnya perlu diisi dengan perkara yang baik. Hari ini, apabila tiba sahaja musim cuti sekolah, pasti menjadi satu masa yang sekian lama dinanti-nantikan oleh anak-anak, namun sebaliknya menjadi satu masa bagi ibu bapa untuk memikirkan bagaimana ingin memastikan musim cuti sekolah anak-anak mereka dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yangberfaedah. Dewasa ini, kebanyakkan ibu bapa mempunyai kerjaya masing-masing dan kesibukan bekerja membuatkan mereka kurang menghabiskan masa dengan anak-anak. Apa yang mereka tahu, adalah menghantar anak-anak mereka ke sekolah  dan mengambil mereka pada waktu petang semasa musim persekolahan. Berbeza dengan waktu cuti sekolah, anak-anak akan lebih menghabiskan masa dirumah dan sesetengah dariada mereka hanya bersendirian dirumah tanpa penjaga. Adakah ibu bapa  sanggup membiarkan anak-anak mereka bangun daripada tidur hanya selepas matahari naik mencacak di atas kepala? Dimanakah sensitiviti seorang bapa dan ibu yang mahukan anak-anaknya menjadi penyejuk mata hati seperti mana yang difirmankan Allah di dalam Surah Al-Furqan, ayat ke-74? Menurut imam Al-Bughawi didalam tafsirnya, Qurratu A’yun bererti anak-anak yang baik, bertakwa yang mampu menyejukkan hati dan pandangan mereka. Inilah yang didoakan  kepad kita setiap waktu. Persoalannya, adakah berbaloi tempoh masa cuti sekolah anak-anak jika tidak diisi dengan perkara yang berguna? Sudah tentu tidak. Oeh itu, sudah menjadi satu tanggungjawab bagi ibu bapa dalam memastikan hari-hari mereka menjadi hari ynag tidak sia-sia. Pelbagai langkah harus diambil oleh ibu bapa dalam menangani isu ini termasuk perancangan rapi sebelum cuti sekolakh bermula.

[I-1]                       Antara strategi yang boleh dilakukan oleh ibu bapa agar anak-anak mendapat faedah daripada cuti sekolah yang panjang termasuklah menghantar anak-anak ke kem keagamaan. Mutakhir ini, sudah menjadi satu ‘trend’ apabila anak-anak dihantar ke kem-kem keagamaan sepanjang musim cuti sekolah. Berkonsepkan seperti kem musim panas di negara-negara barat, kem keagamaan ini lebih menekankan kepada hal ehwal agama Islam seperti pengajaran Al-Quran, sirah, ibadah dan aqidah Islam. Ibu bapa hanya perlu membayar yuran kemasukan, dan anak-anak akan diberi makan, tempat tinggal dan mengikuti segala aktiviti yang dijalankan di sana. Kem keagamaan ini boleh dianggap berguna bagi sesetengah ibu bapa yang mungkin terlalu sibuk untuk memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya,” lantaran itu, anak-anak sememangnya memerlukan didikan agama yang sempurna dari kecil. Hasilnya, anak-anak akan lebih terdedah dengan ilmu-ilmu agama, seterusnya membina jati diri yang lebih kental. Jelaslah di sini, bahawa menghantar anak-anak ke kem keagamaan mampu menjadikan cuti persekolahan anak-anak lebih bermakna.

[I-2]                       Dalam pada itu, langkah lain yang boleh dilakukan oleh ibu bapa agar anak-anak mendapat faedah daripada cuti yang panjang adalah dengan membawa anak-anak pulang ke kampung. Hal ini demikian kerana anak-anak dapat mengisi masa mereka dengan mengetahui cara kehidupan, makanan dan aktiviti yang dilakukan oleh orang kampung. Dengan itu, masa cuti anak-anak dapat diisi dengan perkara yang berfaedah dan bukannya terlibat dengan masalah sosial yang semakin berleluasa kini. Di samping itu, apabila anak-anak berada di kampung, mereka akan berasa ingin tahu tentang cara kehidupan, makanan dan budaya-budaya lama yang semakin hilang ditelan arus kemodenan serta timbul minat untuk mencuba sesuatu yang baru, seterusnya menjadi sebuah pengalaman yang berharga bagi mereka. Secara tidak langsung, ibu bapa dan anak-anak dapat mengeratkan lagi  hubungan silaturrahim antara sanak-saudara yang sudah lama berjauhan. Persis kata mutiara, "air yang dicincang tidak akan putus", sememangya jika kita meluangkan masa bersama keluarga dapat mengeratkan lagi jalinan kekeluargaan yang sedia ada. Cukup jelas di sini bahawa dengan membawa anak-anak pulang ke kampung dapat mengisi masa cuti anak-anak dengan perkara yang berfaedah.

[I-3]                       Selain itu, ibu bapa juga perlu memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap anak-anak terutamanya pada musim cuti persekolahan. Pada musim cuti sekolahlah ibu bapa seharusnya merebut peluang cepumas supaya mengambil cuti bagi meluangkan masa bersama anak-anak dengan membawa mereka pergi melancong ke destinasi-destinasi yang menarik sambil melakukan aktiviti riadah seperti berkhemah. Kunci kepada keamanan dan kebahagiaan rumah tangga seharusnya memiliki sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi. Hal ini demikian kerana kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak anak daripada masalah dalam pembelajaran di sekolah mereka. Sebagai contoh, anak-anak kebiasaannya dibekalkan dengan kerja sekolah yang banyak, dalam pada itu, ibu bapa berperanan penting dalam mengurangkan tekanan yang dihadapi  anak anak dengan membantu mereka ketika belajar seperti kata peribahasa; “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Ada diterangkan di sini, bahawa perhatian yang diberikan oleh ibu bapa membantu dalam memastikan masa cuti anak-anak diisi dengan perkara yang berguna.

[I-4]                       Akhir sekali, ibu bapa boleh juga mengamalkan konsep “lawatan sambil belajar” untuk anak-anak. Konsep sebegini bukan sahaja boleh digunakan di sekolah, malah ibu bapa itu sendiri. Hal ini kerana, sesetengah ibu bapa inginkan anak-anak mereka mendapat ilmu setiap kali mereka melangkahkan kaki keluar dari rumah. Ibu bapa digalakkan mengambil cuti walaupun sehari, untuk membawa anak-anak ke tempat-tempat pembelajaran. Di Malaysia, terdapat banyak tempat-tempat pembelajaran untuk anak-anak termasuklah Petrosains, Planetarium Negara, Aquaria KLCC, Kidzania dan Muzium Negara. Lokasi-lokasi sebeginilah yang baik untuk anak-anak mendapatkan ilmu tambahan, belajar dengan cara yang lebih menyeronokkan dan menimba pengalaman baru. Pada masa yang sama, ibu bapa juga boleh bersama anak-anak melihat pameran-pameran dan permainan pembelajaran yang disediakan, dan secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. “Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak melayang,” begitulah sukarnya untuk mendapatkan ilmu kerana ilmu tidak akan datang kepada kita malah sebaliknya.  Sudah terang lagi bersuluh,” sememangnya pengamalan konsep “lawatan sambil belajar” oleh ibu bapa membantu dalam memastikan musim cuti sekolah anak-anak diisi dengan perkara yang berguna.

[Konklusi]            Secara tuntasnya, cuti persekolahan anak-anak sememangnya wajar untuk dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Musim cuti sekolah bukanlah masa untuk berehat dan bersantai semata-mata, kerana pada masa inilah anak-anak perlu lebih fokus kepada pembelajaran. Kesibukan kerja juga bukanlah alasan untuk tidak meluangkan masa dengan anak-anak. Sekali-sekala, bawalah anak-anak ke destinasi-destinasi pelancongan yang ada, mahupun menghabiskan masa dengan anak-anak di rumah sambil bergotong-royong, beriadah atau bermain bersama. Inilah sikap yang harus ada dalam diri setiap ibu bapa, sebagai langkah dalam memastikan agar anak-anak tidak akan bosan atau hanya mengisi masa lapang mereka dengan menonton televisyen atau melayari internet sahaja setiap kali tiba musim cuti sekolah. Lebih baik jikalau anak-anak ‘disuapkan’ dengan ilmu dan pengalaman baru yang lebih bermanfaat untuk kehidupan mereka, kerana di waktu mudalah mereka mempunyai tenaga dan semangat yang lebih kental. Sekiranya ibu bapa tidak menitikberatkan perihal ini, sudah tentu anak-anak akan terus ‘hanyut’ di arus kealpaan yang membuang masa.



Abc
Isi-isi

Peribahasa/Kosa kata menarik



Disediakan oleh:

Kumpulan S.N.A.T.S  ( 5SN2)
Ahli:       Azlin Binti Osman
                Najiha Binti Azman
                Muhammad Shafiq Bin Amirullah
                Muhammad Thaqif Bin Ramli
                Muhammad Syafiq Bin Kamal